Untuk bakal pengantin perempuan yang sedang mencari-cari idea atau
padanan selendang yang sesuai untuk dipadankan dengan busana baju nikah
atau sanding, jangan risau berikut disertakan 20 tip khas untukmu bakal
raja sehari.

Umumnya, tudung dipadankan sedondon atau serona
dengan baju. Namun ia tetap nampak serasi dengan gandingan warna lain
yang seirama seperti platinum dengan ungu lembut. Selain itu, fabrik
yang sesuai paling penting agar ketika dipakai ia nampak selesa dan
terletak cantik. Barulah nampak menawan ratu di singgahsana.
1. Paling utama sebagai pengantin Muslimah, pemakaian tudung yang
sempurna mestilah labuh menutupi dada, tidak jarang, longgar dan tidak
menampakkan bentuk telinga, tersembunyi dan menyelaputi bahu.
2. Bagi pasangan yang akan melangsungkan pertunangan atau
perkahwinan, asas pemakaian tudung ialah anak tudung yang direka
mengikut keselesaan dan kesesuaian si pemakainya. Jangan pula sampai
ternampak anak rambut ye.
3. Anak tudung mempunyai ‘awning’ antara yang sentiasa menjadi
pilihan kerana anak tudung ini senang dibentuk dan boleh menutup
kekurangan bentuk muka bulat dan bersegi.
4. Selain itu, anak tudung manik berikat belakang tanpa ‘’awning’’
pula sesuai dipakai oleh anda yang mempunyai bentuk muka yang panjang
dan bujur. Bagi pemilihan fabrik anak tudung seperti shantong, sutera
thai, lace, span, dan jersi amat sesuai.
5. Manakala warna yang sesuai pula, digunakan untuk majlis bertunang
ialah warna biru, jingga, hijau, ungu, merah jambu, dan kelabu. Walau
bagaimana padanan warna mengikut cita rasa masing-masing.

6. Pilihan terbaik untuk tudung ialah fabrik lembut yang tidak
berkilat. Ini kerana wanita bertudung harus sentiasa berpegang kepada
prinsip berpakaian sopan, tidak terlalu menonjol. Menyerlah sedikit
daripada orang lain tidak salah agar tetamu tahu anda pengantin.
7. Elakkan memilih kain satin kerana ia berkilat dan panas,
membuatkan anda kurang selesa untuk memakainya dalam tempoh yang
panjang. Sementelah pula anda perlu melayan tetamu yang hadir dan
bersalaman dengan mereka.
8. Fabrik paling sesuai untuk tudung adalah sifon, georgette, cita, sari dan lace. Ia kurang berkilat dan lembut.
9. Warna yang lembut dan tidak menjolok mata seperti merah samar, biru lembut, krim, kelabu atau putih paling sesuai.
10. Elakkan memakai baju pengantin yang warnanya menjolok mata
seperti hijau serindit, merah saga dan kuning diraja. Ini membuatkan
tetamu yang hadir boleh ‘sakit mata’ pabila terpandangkan busanamu itu.

11. Paling praktikal, padankan baju dan tudung sedondon kerana ia
memperlihatkan keanggunan dan kelembutan. Walau bagaimanapun boleh
menggunakan warna sebaliknya asalkan tidak keterlaluan.
12. Untuk majlis akad nikah, warna lembut seperti krim atau putih adalah pilihan terbaik. Tampak suci dan menawan.
13. Sekiranya layah yang digayakan sarat dengan hiasan jemeki atau
batu permata, mini telekung atau tudung yang dipakai mestilah ringkas,
polos dan tidak perlu ada hiasan.
14. Hiasan di layah juga seharusnya tidak terlalu sarat kerana ia
akan membuatkan bahagian kepala dan wajah anda serabut. Ingatlah ‘less
is more’.
15. Sekiranya ingin memakai tiara, elakkan menggayakan tiara kecil
atau separuh kerana ia akan kelihatan janggal untuk pengantin bertudung.

16. Jika anda ingin menghias layah dengan renda pastikan memilih
renda yang berbunga kecil. Elakkan memilih renda berbunga besar kerana
ia membuatkan bentuk wajah anda tidak seimbang.
17. Pemilihan batu permata atau jemeki juga perlu diambil kira.
Elakkan memilih batu permata atau jemeki terlalu sarat. Hiasan yang
sarat akan membuatkan diri anda tidak ubah seperti penari gelek.
18. Sekiranya majlis pernikahan diadakan di masjid, elakkan fesyen
yang keterlaluan, bagi menghormati tempat dan juga majlis yang suci itu,
eloklah jika tudung yang dikenakan, tampak sopan dan ayu. Selain itu,
pemilihan layah pula mestilah lebih panjang dan menutup bahagian
pinggul.
19. Warna-warna pilihan majlis pernikahan adalah seperti putih
mutiara, biru ais, krim, kelabu lembut, biru tirus, ungu kundang lembut
dan merah jambu. Majlis pertunangan dan persandingan tidak banyak beza
dari segi cara pemakaian tudung. Ia bergantung kepada pasangan untuk
kelihatan anggun dan ayu sebagai pengantin Muslimah.
20. Gaya tudung juga mengikut kesesuaian bentuk muka dan warna kulit
pengantin. Warna-warna pilihan untuk majlis persandingan ialah kelabu,
biru gelap, coklat, hijau lumut, hijau pucuk pisang, ungu nila
(lavender), merah dan hitam serta merah dan putih.